Kerjaya Magdalena Andersson

Penasihat dan penjawat awam

Selepas menamatkan pengajiannya dalam bidang ekonomi, Andersson mendapat pekerjaan di Pejabat Perdana Menteri sebagai seorang penasihat politik kepada Göran Persson dari 1996 hingga 1998. Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai Pengarah Perancangan dari 1998 hingga 2004. Dari 2004 hingga 2006, beliau bekerja dalam bidang perkhidmatan awam sebagai Setiausaha Negara di Kementerian Kewangan dari 2004 hingga 2006. Dari 2007 hingga 2009, beliau sekali lagi menjadi penasihat politik, kali ini kepada Ketua Pembangkang Mona Sahlin. Beliau meletakkan jawatan ini apabila Kerajaan Sweden telah melantiknya sebagai Ketua Pengarah Agensi Cukai Sweden. Beliau memegang jawatan tersebut sehingga 2012 apabila beliau diangkat sebagai calon Sosial Demokrat menjelang pilihan raya umum 2014 . [16]

Menteri Kewangan

Andersson dengan belanjawan kerajaan pertamanya (dikenali sebagai nådiga luntan) di luar Parlimen pada 23 Oktober 2014

Selepas kemenangan Parti Sosial Demokrat dalam pilihan raya umum Sweden 2014, Andersson dipilih sebagai seorang ahli Riksdag dan beliau dilantik sebagai Menteri Kewangan oleh perdana menteri baharu Stefan Löfven.[17] Hasil daripada rundingan untuk membentuk kerajaan campuran, Per Bolund diberikan tanggungjawab untuk mengawal pasaran kewangan dan perlindungan pengguna sebagai Menteri bagi Pasaran Kewangan semasa Andersson berkhidmat sebagai Menterian Kewangan.[18] Andersson telah dilantik semula sebagai Menteri Kewangan oleh Löfven selepas pilihan raya 2018 . [19]

Pada tahun 2020, ahli Jawatankuasa Kewangan dan Kewangan Antarabangsa (IMFC) yang merupakan jawatankuasa penasihat dasar utama bagi Lembaga Gabenor Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), memilih Andersson sebagai Pengerusi Jawatankuasa tersebut dengan tempohnya selama tiga tahun.[20] Beliau menjadi orang Eropah pertama yang memegang jawatan tersebut selepas lebih daripada sedekad, di samping menjadi wanita pertama untuk memegang jawatan itu.[21]

Pada Ogos 2021, Perdana Menteri Stefan Löfven mengumumkan bahawa beliau akan meletakkan jawatan sebagai ketua parti di Kongres Parti Demokratik Sosial pada November 2021.[22] Andersson telah dianggap oleh ramai sebagai penggantinya. Pada 29 September, jawatankuasa pencalonan Parti Demokratik Sosial mengumumkan bahawa Andersson telah dipilih sebagai calon pemimpin sebelum kongres. Sekiranya jawatan itu diterima oleh Riksdag, Andersson akan menjadi pemimpin parti tersebut dan Perdana Menteri wanita Sweden yang pertama.[23][24]

Ketua Parti Demokrat Sosial

Andersson telah dipilih sebagai Ketua Parti Demokratik Sosial Sweden pada 4 November 2021.[25] Beliau menjadi pemimpin wanita yang kedua bagi parti tersebut selepas Mona Sahlin.[10]

Pada 10 November, penyandang perdana menteri Stefan Löfven secara rasmi meletak jawatan.[26] Sebagai sebahagian daripada pembentukan kerajaan Sweden 2021, Speaker Riksdag mengadakan perbincangan dengan semua pemimpin parti pada 11 November dan tidak lama selepas itu membenarkan Andersson untuk membentuk kerajaannya dalam tempoh seminggu.[27] Pada 23 November 2021, Andersson telah mendapat sokongan Parti Kiri pada pengundian perdana menteri yang akan datang. Dengan Parti Tengah sebelum ini telah bersetuju untuk menyokongnya, Andersson mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen untuk menjadi perdana menteri Sweden yang seterusnya.[28]

Perdana Menteri Sweden (yang dipilih)

Pada 24 November 2021, Andersson telah dipilih sebagai perdana menteri baharu Sweden oleh Riksdag.[5] Beliau asalnya dijangka akan memegang jawatan tersebut secara rasmi pada 26 November 2021.[29] Walaupun beliau tidak menerima undi "ya" yang secukupnya, kebanyakan ahli Parlimen tidak menentang pelantikkannya kerana tidak mengundi. Hal ini sudah memadai untuk beliau dilantik sebagai perdana menteri.[5] Andersson akan menjadi ketua kerajaan wanita pertama Sweden sejak hak mengundi sejagat diperkenalkan pada tahun 1921.[30]

Beberapa jam selepas pemilihan Andersson, bajetnya telah dikalahkan di Riksdag sebaliknya bajet pembangkang telah diluluskan. Disebabkan oleh bajet pembangkang digubal dengan sokongan Demokrat Sweden yang bersayap kanan, Parti Hijau menarik diri daripada parti campuran itu.[31] Hal ini telah menyebabkan Andersson meletak jawatan.[32] Tindakan beliau adalah berdasarkan konvensyen yang menyatakan bahawa seorang perdana menteri harus meletakkan jawatan sekiranya sesebuah parti meninggalkan kerajaan campuran. Beliau telah memberitahu Speaker Andreas Norlén bahawa beliau berminat untuk membentuk kerajaan parti tunggal yang terdiri daripada ahli Parti Demokrat Sosial.[33][31]

Beliau dijangka akan dipilih semula sebagai perdana menteri kerana semua parti yang menyokongnya dalam undian pertama (Parti Pusat, Parti Hijau, dan Parti Kiri), telah menyatakan bahawa mereka akan menyokongnya apabila Riksdag mengundi lagi pada 29 November 2021.[34][35]

Rujukan

WikiPedia: Magdalena Andersson http://www.ebrd.com/shareholders-and-board-of-gove... http://www.eib.org/about/governance-and-structure/... http://siteresources.worldbank.org/BODINT/Resource... http://siteresources.worldbank.org/BODINT/Resource... http://www.civilekonomen.se/motet/jag-tycker-om-at... http://www.dn.se/valet-2014/hon-vill-vara-bast-i-k... http://www.expressen.se/gt/ett-komplement-till-en-... https://www.bbc.com/news/world-europe-59400539 https://www.bloomberg.com/news/articles/2021-09-29... https://california18.com/magdalena-andersson-hidde...